Pernahkah anda tertanya mengapa anda perlu mengambil hibah jika sudah mempunyai wasiat?
Masyarakat sedia maklum bahawa di dalam konsep pengurusan harta pusaka terdapat beberapa komponen seperti wasiat, faraid dan hibah. Namun tahukah anda apakah perbezaan antara setiap komponen tersebut?
Mari kita terlebih dahulu memahami ketiga-tiga perkara yang disebutkan tadi.
Asas Pengurusan Harta Pusaka
Bagi golongan Muslim, terdapat tiga aspek pembahagian harta pusaka yang biasa berlegar di kalangan masyarakat :
1. Faraid
Faraid adalah kaedah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang individu yang beragama Islam. Menerusi kaedah ini, hanya waris-waris si mati sahaja yang layak mendapat harta pusaka. Waris-waris yang sah dan layak adalah isteri, anak-anak, ibu, bapa serta saudara-mara yang lain (bergantung kepada situasi). Hukum pembahagian harta pusaka ini telah disebut secara jelas di dalam Al-Quran.
Harta peninggalan perlu terlebih dahulu ditolak dengan hutang-hutang yang dimiliki oleh si mati, wasiat kepada bukan waris, dan juga kos pengurusan jenazah. Hanya setelah baki diperolehi, pembahagian faraid boleh dilakukan.
Pembahagian harta berdasarkan faraid melibatkan pengiraan yang panjang dan kompleks. Oleh itu, ia memerlukan artikel yang berasingan untuk menerangkannya.
2. Wasiat
Wasiat ialah dokumen yang menyenaraikan cara seseorang itu berhasrat untuk mengagihkan hartanya sesudah ia meninggal dunia kelak. Sebarang wasiat yang memenuhi hukum syarak perlu ditunaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian secara faraid boleh dilakukan. Selain itu, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris sahaja.
3. Hibah
Hibah merupakan suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan (‘iwad).
Tidak seperti wasiat, hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh pemberi hibah, sama ada waris atau bukan waris. Ia juga boleh diberikan kepada non-Muslim bagi tujuan mengeratkan hubungan silaturrahim.
Oleh kerana hibah diberikan sewaktu pemilik harta masih hidup, tiada sebarang had kepada jumlah harta yang boleh dihibahkan dan ia tidak memerlukan persetujuan daripada waris.
Kenapa Perlu Hibah Jika Sudah Ada Wasiat?
i. Hibah Memiliki fungsi berbeza berbanding Wasiat
Wasiat dan hibah mempunyai peranan yang berbeza dalam pengagihan harta; menjadikan kedua-dua instrumen ini saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Wasiat secara umumnya bertujuan untuk mengagihkan harta kepada selain waris sebagai contoh, golongan anak yatim, anak angkat, badan-badan kebajikan dan lain-lain. Pemberian tersebut mestilah tidak melebihi ⅓ dari jumlah keseluruhan harta. Wasiat juga sering digunakan sebagai instrumen untuk melantik pentadbir harta pusaka setelah kematian pemilik harta. Malah wasiat sangat sinonim dikalangan masyarakat sebagai medium untuk menyampaikan pesanan terakhir kepada ahli waris.
Berbeza dengan wasiat yang memiliki pelbagai fungsi, hibah mempunyai satu tujuan utama iaitu penentuan pemberian harta tertentu kepada orang tertentu.Melalui hibah, tiada had limit pemberian harta yang ditetapkan mengikut prinsip shariah, menjadikan ia sebagai sebagai salah satu alat merancang harta pusaka yang semakin digemari oleh ramai orang.
ii. Elak Pertikaian Waris
Dengan melakukan hibah, anda dapat mengelakkan potensi pertikaian di kalangan waris selepas kematian.
Secara jelas, hibah menetapkan niat sebenar pemberi untuk mengagihkan harta secara sah kepada penerima tertentu, mengelakkan perselisihan di kalangan waris berkenaan siapa yang sepatutnya menerima aset tersebut. Malah hibah tidak tertakluk kepada hukum pembahagian faraid menjadikannya salah satu instrumen yang menarik untuk menetapkan siapa penerima aset setelah ketiadaan pemberi.
iii. Fleksibiliti dalam merancang harta pusaka
Hibah memberikan fleksibiliti kepada pemberi untuk merancang dan mengurus harta mereka mengikut keperluan seseorang individu. Anda boleh memberikan harta anda secara hibah kepada sesiapa sahaja sama ada waris atau bukan waris, sama ada muslim dan bukan muslim. Malah tiada had limit dalam penentuan kadar pemberian harta.
Tidak seperti wasiat yang mempunyai limitasi pengagihan harta iaitu terhad kepada ⅓ bahagian dan hendaklah diberikan kepada bukan waris sahaja, hibah memberikan sedikit ruang tambahan dengan membenarkan pemberian kepada selain waris. Namun itu bukan bermaksud wasiat adalah tidak bagus berbanding hibah. Kedua-dua instrumen ini pada hakikatnya mempunyai tujuan dan fungsi yang berbeza.
Pastikan Anda Sudah Mengambil Hibah!
Melindungi harta dan aset adalah penting untuk menjamin kesejahteraan keluarga pada masa hadapan. Masyarakat perlu bijak merancang kewangan dengan menggunakan pelbagai instrumen patuh syariah yang tersedia.
Kedua-dua wasiat dan hibah memainkan peranan penting dalam pengurusan harta. Wasiat memberikan keyakinan kepada pemilik mengenai bagaimana hartanya akan diuruskan selepas kematian, manakala hibah memberikan ketenangan dengan membolehkan harta diserahkan kepada individu yang diingini semasa hayatnya.
Menggabungkan kedua-dua konsep ini dalam perancangan harta akan memastikan pengurusan harta pusaka yang lebih berkesan dan lancar.
Mula Sekarang