Mula Sekarang

Hibah dan Peranannya Dalam Perancangan Kewangan

Apa yang timbul dalam fikiran anda apabila mendengar perkataan ‘hibah’? Mungkinkah anda terus mengaitkannya dengan perlindungan seperti takaful? Atau mungkin juga jawapan anda adalah hibah harta melalui konsep pewarisan harta pusaka?

Kedua-dua jawapan di atas adalah tepat. Tahukah anda hibah mempunyai peranan yang sangat penting dalam perancangan kewangan. Mari kita ketahui dengan lebih lanjut!

Apa itu hibah?


Hibah adalah satu konsep dalam undang-undang Islam yang dikenali sebagai hadiah atau pemberian tanpa balasan serta ia dilakukan semasa hidup pemberi.

Dalam konteks kewangan, ramai sedia maklum bahawa Hibah menerusi Takaful adalah satu perlindungan kewangan dengan kaedah memberikan pampasan secara Hibah kepada benefisiari.

Manakala hibah harta melalui konsep perancangan harta pusaka pula adalah proses pindah milik sesebuah harta dari seseorang kepada seseorang melalui akad hibah. Akad hibah biasanya dibuat ketika hayat pemberi manakala proses pindah milik dilaksanakan setelah kematian pemberi hibah. Dokumentasi hibah adalah diperlukan bagi memastikan kesahihan akad hibah itu sendiri.

Kelebihan Hibah Dalam Perancangan Kewangan


Hibah memainkan peranan penting dalam perancangan kewangan sebagai satu alternatif untuk mewariskan sesuatu aset kepada orang yang kita sayangi tanpa melalui proses pembahagian harta pusaka yang kompleks. Ia boleh digunakan untuk:

  1. Mengelakkan pertikaian harta : Dengan menetapkan pemberian hibah, pemilik harta boleh mengelakkan pertikaian dalam kalangan ahli keluarga selepas kematiannya kerana harta tersebut sudah ditentukan penerimanya.
  2. Melindungi penerima manfaat: Hibah membolehkan seseorang memastikan bahawa orang yang dia sayangi, seperti anak-anak atau pasangan, menerima harta yang diperlukan untuk membantu mereka meneruskan kehidupan selepas ketiadaan pemilik harta.
  3. Mempercepat proses pemindahan harta: Berbeza dengan harta pusaka yang memerlukan proses pembahagian yang boleh mengambil masa yang lama, hibah membolehkan harta dipindahkan dengan lebih cepat kepada penerima manfaat malah risiko pergaduhan antara waris juga adalah lebih rendah.
  4. Alat perancangan harta yang fleksibel: Hibah boleh diberikan kepada sesiapa sahaja, sama ada ahli keluarga atau orang luar, dan ia boleh disesuaikan mengikut keperluan pemilik harta.
Secara keseluruhan, hibah adalah instrumen yang efektif dalam perancangan kewangan. Ia memberikan ketenangan jiwa dan fikiran kepada pemilik harta dalam merancang masa depan keluarga mereka.

Hibah Sebagai Perancangan Kewangan


Dalam perancangan kewangan, penting bagi seseorang untuk merancang dengan teliti serta mendapatkan nasihat dari individu yang mahir dalam bidang pewarisan harta pusaka.

Sebelum membuat keputusan untuk memberikan hibah kepada seseorang individu, pastikan anda memahami implikasi serta tindakan yang perlu diambil bagi memastikan proses hibah berjalan lancar dan tanpa sebarang masalah di masa hadapan.

Kesimpulannya, hibah adalah satu konsep yang penting dalam perancangan kewangan seseorang terutamanya dalam aspek warisan dan pemindahan harta.

Dengan menggunakan hibah sebagai strategi perancangan kewangan, seseorang dapat memberikan manfaat kepada ahli keluarga, mengelakkan masalah berkaitan pusaka, mengurangkan beban kewangan ahli keluarga serta melindungi harta benda dan aset yang dimiliki.

Oleh itu, jangan ragu untuk merancang hibah sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan anda.

Mula Sekarang
Hibah Kalkulator