PETALING JAYA – Sedania Innovator Berhad (Sedania) bakal memperkenalkan edisi produk digital hibah dengan memeterai kerjasama bersama beberapa pihak bank dan perusahaan bagi membantu melindungi masa depan golongan isteri.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, setakat ini hanya 0.2 peratus dalam kalangan masyarakat Islam yang cakna, manakala 99.8 peratus lagi kurang ilmu atau pengetahuan tentang kepentingan dan manfaat hibah.
Ujar beliau, dengan nilai aset harta pusaka terbeku dalam kalangan masyarakat Islam yang dianggarkan mencecah RM90 bilion, perkara ini adalah masalah ekonomi sosial yang semakin meruncing.
"Senario biasa, bila suami meninggal dunia secara tiba-tiba, isteri terpaksa mencari jalan bagaimana nak mencairkan aset-aset suami untuk teruskan hidup bagi membesarkan anak-anak.
"Sebelum ni suami kalau nak pinjam duit dekat bank untuk pembiayaan rumah, perlu ada Jaminan Tempoh Pengurangan Gadai Janji dengan syarikat insurans bagi memastikan pinjaman dengan pihak bank langsai.
"Tapi bila suami langgan produk digital hibah kami melalui pihak bank dan jika sesuatu berlaku pada suami, kami akan pastikan sepenuh hak milik itu pergi kepada isteri atau anak-anak mengikut kehendak suami, tidak seperti wasiat. Maka kelangsungan hidup keluarga itu terjaga walaupun suami dah tiada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramadan Iftar Sedania bersama ibu-ibu tunggal dan anak-anak yatim di Kampung Sungai Penchala, di sini kelmarin.
Bertanyakan bilakah pelancaran dan kerjasama dengan sebuah bank tersebut bakal berlangsung, Azrin berkata pihaknya akan mengumumkannya tidak lama lagi.
"Buat masa ini, hanya kami satu-satunya syarikat yang ada kerjasama sebegini. Kami akan lancarkannya tidak lama lagi melalui perusahaan dan bank.
"Kemudian, pihak bank yang akan sediakan pembiayaan kewangan untuk hibah kepada pelanggan. Bila anda pergi ke bank untuk pinjam duit atau beli hartanah, bank akan tawarkan produk digital hibah bercagar kami.
"Kami berasa teruja untuk bekerja dengan bank, pemaju hartanah, pengeluar kereta untuk memastikan bahawa apabila sesuatu berlaku kepada suami atau keluarga terutamanya anak-anak kecil, masa depan mereka dapat dilindungi," katanya. – KOSMO! ONLINE